Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin tidak akan kekal sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menguasai negeri itu semula.
Perkara tersebut diakui oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana dilihat ramai lagi calon yang berkelayakan.
"Khalid menjalankan tugas dengan baik tetapi terdapat ramai calon berkelayakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas ketika Khalid dibayangkan akan dikekalkan sebagai Menteri Besar jika PR mempertahankan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurut Wan Azizah, parti tersebut mempunyai senarai calon lain yang berpotensi mengisi jawatan itu.
"Senarai kami tidak sebanyak seperti dalam Barisan Nasional tetapi Khalid turut tersenarai," katanya.
Ketika ditanya siapa calon lain yang berpotensi untuk mengisi jawatan tersebut, Wan Azizah enggan mendedahkannya.
"Mereka adalah antara calon yang akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.
Abdul Khalid diumumkan sebagai calon PKR untuk kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.
SUMBER
No comments:
Post a Comment