Ekoran pengumuman pembubaran parlimen pada 3 April lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 adalah pada 5 Mei 2013.
SPR menerusi Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, PRU13 akan berlangsung serentak di seluruh negara dan akan dibantu oleh 234 908 petugas.
"SPR akan menggunakan 8 789 pusat mengundi yang mengandungi 26 219 tempat mengundi (saluran). Bagi maksud hari pengundian awal, sebanyak 544 pusat mengundi dengan 882 tempat mengundi akan dibuka."
"Manakala bagi pengundian biasa, 25 337 tempat mengundi akan dibuka," katanya kepada pemberita di Pusat Media SPR, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, SPR menetapkan tarikh keluar writ kepada calon yang akan bertanding pada 11 April ini dan penamaan calon akan berlangsung pada 20 April.
Dalam pada itu, proses berkempen kata Abdul Aziz akan dipantau oleh 379 Pegawai Penguat Kuasa yang juga merupakan Ketua Pasukan Penguatkuasa kempen Pilihan Raya.
Beliau turut menjelaskan seramai 13 268 002 pemilih layak mengundi pada PRU13, terdiri daripada 12 998 661 pengundi biasa dan 161 251 pengundi dari kalangan tentera dan pasangan disamping 111 136 dan 2 954 masing-masing dari Polis Gerakan Awam (PGA) dan pengundi luar negara (pengundi tidak hadir).
No comments:
Post a Comment