Monday, 29 April 2013

Remaja Cedera Dilanggar Peserta Konvoi Parti Pembangkang....


 

Seorang bapa kesal dengan penganjur konvoi bermotosikal sebuah parti pembangkang yang didakwa mengabaikan aspek keselamatan sehingga mengakibatkan anak lelakinya cedera selepas dilanggar salah seorang peserta di persimpangan Pokok Sena menghala Tasek Gelugor pada Ahad lalu.

Azlan Din, 45, berkata, dalam kejadian pada pukul 1.40 petang itu, anaknya Muhamad Amirul Wafi Azlan, 18, yang menaiki motosikal sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah stesen minyak sebelum dilanggar salah seorang peserta konvoi yang mengiringi lawatan pemimpin tertinggi Pas ke kawasan berkenaan.

"Apa yang saya kesalkan selepas anak saya dilanggar, peserta konvoi itu hanya mengangkat anak saya dan kemudian melarikan diri.

"Saya tidak salahkan peserta konvoi sepenuhnya tetapi pihak penganjur yang sepatutnya bertanggungjawab kerana ia membabitkan soal keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menerima lawatan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di rumahnya di Kampung Air Melintas Besar di sini hari ini.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, anaknya mengalami retak di bahu dan betis kanan selain luka di muka dan patah gigi.

Katanya lagi, sehingga kini tiada seorang pun wakil Pas menziarahi anaknya yang kini terlantar di rumah.

Dalam pada itu, Muhamad Amirul ketika ditemui berkata, salah seorang peserta konvoi yang melanggarnya menunggang laju.

"Saya tidak ingat apa-apa, bila sedar saya sudah berada di dalam longkang.

"Orang yang melanggar saya itu sudah melarikan diri tetapi ada beberapa peserta yang berhenti membantu saya sebelum dihantar ke Hospital Kepala Batas," ujarnya.

Sementara itu, Reezal Merican memberitahu, penganjur sepatutnya mengambil berat tentang aspek keselamatan peserta dan pengguna jalan raya lain ketika mengadakan konvoi bermotosikal.

"Memang kemalangan kita tidak boleh jangka bila akan berlaku tetapi ia boleh dielakkan sekiranya pihak penganjur mematuhi aspek keselamatan dengan meletakkan seorang marsyal bagi mengawal peserta konvoi.

"Malangnya penganjur tidak berbuat demikian dan apabila kemalangan ini berlaku mereka langsung tidak mahu bertanggungjawab dan tidak datang bertanya khabar kepada mangsa dan keluarga," katanya.

Kanak-kanak di pukul bila mengaku sokong BN DI SINI.


1 comment:

  1. aku pun nyaris nak xcident selisih ngan konvoi ni.takder disiplin langsung.patutnya pakaila polis.ini tidak.dahla jalan 2 lorong sempit.depa makan 2 lorong.suka-suka hati jer suruh org ketepi.bila accident.salahkan org pulak.ikut hati macam nak langgar jer.tapi bila pikir aku bawak anak bini.sabar...sabar...sila saman mereka wahai keluarga mangsa.biar penganjur tu rasa akibat tak boleh kawal pengikut

    ReplyDelete