Hampir 40 buah keluarga di Kampung Sepakat Jaya, Batu Caves dekat sini menarik nafas lega apabila Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG) menangguhkan kerja-kerja merobohkan rumah 'setinggan' mereka yang dijadualkan semalam.
Biarpun operasi meroboh itu ditangguh, penduduk pada mulanya gusar dengan kehadiran jentolak yang akan digunakan untuk merobohkan rumah mereka serta anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Namun, setelah rundingan hampir dua jam dilakukan antara wakil penduduk dan wakil PTDG, operasi tersebut ditangguhkan pada pukul 12 tengahari sebelum kesemuanya bersurai. Wakil penduduk, Ibrahim Ahmad, 60 berkata, mereka pernah melakukan permohonan secara berkelompok pada 2007 kepada PTDG untuk meneroka kawasan itu bagi membina penempatan.
Namun, ujarnya, permohonan tersebut ditolak sebelum mereka bertindak meneruskan pembinaan rumah pada 2009 setelah mendapat 'sokongan' daripada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Nurul Izzah Anwar.
"Ketika ini sudah 27 daripada 40 keluarga membina rumah di kawasan seluas 1.2 hektar ini, tetapi baru-baru ini penduduk menerima notis daripada PTDG agar mengosongkan kawasan ini dalam tempoh lima hari.
"Alasan mereka adalah kami menceroboh tanah kerajaan, tetapi penduduk juga telah membayar cukai tanah kepada PTDG berjumlah RM46,000 sejak tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sumber : Ocean's13
No comments:
Post a Comment