Saturday 24 August 2013

Pembunuh Altantuya Dibebaskan...


Mahkamah Rayuan membebaskan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis yang disabitkan kesalahan membunuh seorang wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu.

Koperal Sirul Azhar Omar dan Cif Inspektor Azilah Hadri yang mendengar keputusan tersebut melahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada panel hakim selepas keputusan itu diumumkan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali,  Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu.

Mahkamah Tinggi pada 2009 telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka atas kesalahan membunuh Altantuya, yang ketika itu berumur 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Dalam penghakiman, mahkamah mengemukakan lapan alasan bagi pembebasan Azilah dan Sirul Azhar.

Hakim Tengku Maimun berkata mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin tidak membuat sebarang dapatan mengenai sama ada pihak pendakwa telah membuktikan mengenai kewujudan perancangan awal oleh dua anggota polis itu untuk melakukan pembunuhan dan pembunuhan itu dilakukan rentetan daripada perancangan awal itu.

"Dalam penghakiman kami, ketiadaan dapatan sebegitu oleh hakim perbicaraan yang bijaksana mengenai ramuan niat bersama yang membawa kepada penyalaharahan dengan cara tanpa arahan," katanya.

Mengenai log panggilan dan ramalan liputan, beliau berkata mahkamah mendapati keterangan oleh tiga saksi daripada beberapa syarikat telekomunikasi telah membawa kepada isu kebolehpercayaan dan ketepatan log panggilan dan ramalan liputan.

Hakim Tengku Maimun berkata amat penting untuk hakim perbicaraan menumpukan pada cabaran dibangkitkan oleh pihak pembelaan mengenai eksibit dan untuk membuat dapatan sama ada terdapat pindaan atau gangguan terhadap data dan sama ada ketulenan data boleh dipersoalkan atau tidak.

"Apa yang dikesalkan, hakim mahkamah tinggi gagal berbuat demikian, yang dalam penghakiman kami adalah penyalaharahan yang serius sehingga tidak boleh bergantung kepada eksibit itu yang dikatakan tidak kukuh," kata hakim.

Bagi alasan lain, mahkamah memutuskan hakim perbicaraan juga tidak memberi perhatian dan tidak memeriksa sama ada wujud percanggahan dan ketidakkonsistenan keterangan saksi-saksi pendakwa.

Katanya hakim perbicaraan juga tidak memeriksa kredibiliti saksi-saksi pendakwa dan tidak memberi perhatian sama ada Azilah dan Sirul Azhar telah menimbulkan keraguan mengenai ketepatan kenyataan mereka mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950.

Hakim Tengku Maimun juga berkata hakim perbicaraan tidak memikirkan sama ada penemuan tempat jenayah dan barangan kemas si mati adalah hasil daripada maklumat diberikan oleh dua anggota polis itu dan bukannya daripada sumber lain.

Beliau berkata mahkamah mendapati berlaku keadaan tanpa arah oleh hakim perbicaraan apabila gagal menilai keterangan sebelum menerima kenyataan itu mengikut Seksyen 27.

No comments:

Post a Comment