Monday 19 August 2013

KJ Perlu Lagi Sepenggal Untuk 'Pikat' Golongan Muda Sokong UMNO



Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan mempertahankan jawatannya dalam parti pada pemilihan Agung Umno 2013 yang akan berlangsung September ini.

Menurut Khairy, keputusan tersebut dibuat setelah membuat perbincangan dengan pelbagai pihak yang masih memerlukan kepimpinan beliau dalam sayap parti itu.

"Saya membuat keputusan (pertahankan jawatan) setelah mendapat maklum balas daripada pimpinan akar umbi yang dikatakan masih memerlukan kepimpinan saya dalam sayap parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbukanya di sini semalam.

Khairy yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau itu turut berkata tempoh sepenggal yang diberikan kepadanya untuk menerajui sayap parti itu tidak mencukupi dan memohon diberi tempoh sepenggal lagi bagi membuktikan kepimpinannya.

"Bagi saya, tempoh sepenggal yang diberikan kepada saya tidak mencukupi dan saya perlukan tempoh yang lebih untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pengundi muda untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional," ujarnya.

Tambah Khairy , secara peribadinya beliau tidak mempunyai masalah sekiranya jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bertanding.

Khairy dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno pada pemilihan tahun 2009.

Mesyuarat Cawangan Umno dilanjutkan dari 31 Ogos kepada 15 September ini manakala pendaftaran penamaan calon untuk pergerakan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri dipinda dari 7 September kepada 21 September.

Mesyuarat pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri ditetapkan pada 12 Oktober dan penamaan calon untuk pemilihan Majlis Tertinggi Umno ditukar dari 7 September kepada 28 September.

Mesyuarat Bahagian dan hari pemilihan Majlis Tertinggi Umno dipinda daripada 5 Oktober kepada 19 Oktober.

Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 2 sehingga 7 Disember depan.

No comments:

Post a Comment