Tuesday, 20 August 2013

Hentam Tanpa Bagi Cadangan, Bukti Orang Cetek Pemikiran


Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sepatutnya mengemukakan cadangan dan bukannya terus menerus menghentam pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan mendakwa peningkatan kadar jenayah dan kes bunuh yang melanda negara adalah cermin kegagalan dalam 100 hari pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas Pilihan Raya 2013.

Malah, menurut Penganalisis Politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain kritikan tidak berasas Mahfuz itu bukan sahaja tidak dapat membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya memburukkan lagi keadaan sedia ada.

"Saya ingat lebih baik jangan menghentam Datuk Seri Najib. Beritahu macamana caranya nak menyelesaikan masalah. Menghentam tidak akan menyelesaikan masalah. Bagitahu idea macamana,

"Pembangkang juga yang minta Barisan Nasional menghapuskan ISA, akta tahanan polis dan semua tu. Bila jadi macam ni nak salahkan Najib pula. Najib sudah mengambil cadangan itu yang kononnya bila hapuskan ISA akan aman damai," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari ini yang mendakwa Najib gagal mentadbir negara dalam 100 hari pemerintahannya sehingga menyebabkan peningkatan kadar jenayah dan kes bunuh muktahir ini.

Malah, Naib Presiden PAS itu mendakwa tempoh 100 hari pentadbiran BN selepas PRU13 masih tidak memberi gambaran jelas untuk meringankan beban rakyat.

Katanya, kegagalan itu terpamer berikutan peningkatan kos sara hidup rakyat hari ini.

Dakwanya lagi, pemimpin Umno-BN mengenepikan tanggungjawab kepada rakyat sebaliknya hanya memikirkan cara untuk mengukuhkan kedudukan dalam pemilihan Majlis Tertinggi (MT) parti itu pada Sepetember depan.

Mengulas lanjut Atory berkata, kenaikan harga barang berlaku bukan kerana kegagalan Perdana Menteri, sebaliknya ia berlaku berikutan musim perayaan.

Justeru katanya, adalah tidak wajar untuk Mahfuz mengeluarkan kenyataan sedemikian apatah lagi beliau tidak mempunyai latar belakang dalam bidang ekonomi.

"Harga barang meningkat ini bermusim. Kalau setakat YB Mahfuz, pada saya janganlah cepat melatah, melainkan dia salah seorang ahli akademik, ahli ekonomi, bolehlah kita terima. tapi dia bukan ahli ekonomi," ujarnya. 

Monday, 19 August 2013

KJ Perlu Lagi Sepenggal Untuk 'Pikat' Golongan Muda Sokong UMNO



Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan mempertahankan jawatannya dalam parti pada pemilihan Agung Umno 2013 yang akan berlangsung September ini.

Menurut Khairy, keputusan tersebut dibuat setelah membuat perbincangan dengan pelbagai pihak yang masih memerlukan kepimpinan beliau dalam sayap parti itu.

"Saya membuat keputusan (pertahankan jawatan) setelah mendapat maklum balas daripada pimpinan akar umbi yang dikatakan masih memerlukan kepimpinan saya dalam sayap parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbukanya di sini semalam.

Khairy yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau itu turut berkata tempoh sepenggal yang diberikan kepadanya untuk menerajui sayap parti itu tidak mencukupi dan memohon diberi tempoh sepenggal lagi bagi membuktikan kepimpinannya.

"Bagi saya, tempoh sepenggal yang diberikan kepada saya tidak mencukupi dan saya perlukan tempoh yang lebih untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pengundi muda untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional," ujarnya.

Tambah Khairy , secara peribadinya beliau tidak mempunyai masalah sekiranya jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bertanding.

Khairy dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno pada pemilihan tahun 2009.

Mesyuarat Cawangan Umno dilanjutkan dari 31 Ogos kepada 15 September ini manakala pendaftaran penamaan calon untuk pergerakan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri dipinda dari 7 September kepada 21 September.

Mesyuarat pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri ditetapkan pada 12 Oktober dan penamaan calon untuk pemilihan Majlis Tertinggi Umno ditukar dari 7 September kepada 28 September.

Mesyuarat Bahagian dan hari pemilihan Majlis Tertinggi Umno dipinda daripada 5 Oktober kepada 19 Oktober.

Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 2 sehingga 7 Disember depan.

Friday, 19 July 2013

Nik Aziz 'Hasut' Pengundi Besut Undi Pas, Masuk Syurga



Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ceramahnya malam tadi di Kampung Beris Pak Abu dilihat mengingkari janji PAS untuk berkempen secara sihat dan berhemah khususnya ketika Ramadan apabila menuduh parti lawan dengan pelbagai dakwaan.

Menurut Niz Aziz, pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut digesa supaya menolak calon Barisan Nasional (BN) daripada Umno kerana parti itu didakwa tidak memperjuangkan ajaran Islam.

"Umno tolak Islam...ambil (semangat) kebangsaan. Parti mereka pun guna bahasa Inggeris...tapi nak bela orang Melayu.

"Bela bangsa Melayu boleh bawa bekal ke akhirat? Adakah di akhirat nanti bila ditanya...kamu bangsa apa? Melayu...haa boleh masuk syurga. Senang la macam tu.

"Bangsa tidak boleh buat apa-apa di akhirat, sebab itu Nabi Muhammad SAW bukan pembela bangsa Arab tapi pembela Islam," katanya.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu juga mendakwa  perjuangan Umno di atas semangat kebangsaan untuk membela bangsa Melayu tidak akan membawa ke syurga.

Nik Aziz turut mendakwa Umno merosakkan pemikiran rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk masjid hingga menyebabkan umat Islam menjadi kedekut.

"Umno suruh buat masjid, tapi mereka sendiri tidak sembahyang. Mereka hanya nak dapatkan kontrak buat masjid sahaja.

"Kenapa saya kata tidak akan buat masjid? kerana Umno khianat kepada otak orang Kelantan. Mereka buat banyak masjid, surau. Akhirnya orang Kelantan menjadi kedekut.

"Cari duit hanya buat rumah, beli tanah, beli kereta...masjid tak buat. Ini satu kecelakaan yang menimpa," katanya.

Menerusi ceramahnya Nik Aziz turut menggesa pengundi termasuk calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman supaya mengundi PAS.

"Tolonglah...bukan sahaja orang PAS, tapi saya nak minta calon Umno sendiri undi PAS.

"Apa yang tak kena dengan PAS? PAS sebut tentang Islam...yang tolak Islam bukan Cina, tapi Umno yang menolak Islam," katanya.

Wednesday, 17 July 2013

ALVIN & VIVIAN...Pasangan Tak Ada Akal...



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perbuatan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan boleh disifatkan sebagai orang yang tiada akal.

Menurut Dr. Mahathir, tindakan pasangan itu boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan masyarakat kerana mengguris sensitiviti rakyat pelbagai kaum, khususnya umat Islam tidak seharusnya dibuat.

"Kata benda-benda yang menyakitkan hati orang mungkin orang akan balas...nanti jadi bermusuhlah. Ini orang yang tak ada akal, bodoh yang tidak boleh diajar," katanya.

Tambahnya, tindakan pasangan itu dikhuatiri boleh menjurus kepada rusuhan dalam kalangan rakyat dan hukuman keras harus ke dikenakan terhadap pasangan itu, sebagai pengajaran.

"Jika tidak boleh dibuang negeri, mungkin tindakan lain boleh dikenakan. Tetapi saya ingat undang-undang tidak benarkan kita lucut kewarganegaraan," katanya ketika ditanya mengenai cadangan supaya pasangan itu dilucut kewarganegaraan.

Pasangan itu sebelum ini dikecam ramai setelah memuat naik gambar mereka menikmati bak kut teh (sup tulang babi) berserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook.

Tuesday, 16 July 2013

PAS 'TAKUT' Pertahankan Islam...


Pas didesak membantah serta mengecam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd Zainul Fitri Othman berkata, Pas perlu mengambil tindakan mengecam selaras dengan misi parti tersebut dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

"Pas perlu mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan yang dikeluarkan oleh Marino  selaras pendirian Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan agama lain.

"Namun sehingga kini, tiada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pas.Kerana apa? Kerana parti Islam yang tegakkan daulat Islamiah itu sudah bertukar daulahnya untuk ke Putrajaya," katanya dalam rancangan Hello Malaysia di Bernama TV, Saluran 501 malam tadi.

Rancangan yang bersiaran secara langsung selama sejam itu menampilkan Sherkawi Jirim sebagai moderator manakala Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr. Hasan Ali dan Mohd. Zainul Fitri sebagai ahli panel dalam membincangkan tajuk 'Campur Tangan Vatican City'.

Sebelum ini, Marino dalam wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini baru-baru ini  mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

Namun sehingga kini Pas masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kontroversi yang ditimbulkan Marino itu.

Tambah Mohd. Zainul Fitri, jika tiada tindakan tegas diambil terhadap Marino yang mencampuri urusan hal ehwal agama Islam di negara ini, jelas memperlihatkan kelemahan pemimpin serta orang melayu Islam yang tidak bersatu dalam mempertahankan kalimah Allah.

"Perkara ini seolah-olah diperkotak-katikkan oleh orang luar. Seolah-olah melayu kita tidak bersatu. Salah siapa? Mungkin silap pemimpin yang egois? Pemimpin yang mementingkan iedologi? Terlalu menjaga teman tertentu, jaga rakan-rakan di luar? 

"Bila ini berlaku (tidak bersatu), siapa yang nampak lemah? Orang melayu, edisi kerajaan, pemimpin Islam, pemimpin yang mempunyai wadah perjuangkan Islam akan nampak lemah," katanya.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab pertanyaan seorang pemanggil yang bertanyakan di mana Pas dalam menangani isu ini dan orang melayu kelihatan tidak bersatu dalam memperjuangkan Islam kerana fahaman politik yang berbeza.

Sementara itu, Hasan Ali berkata, Vatican City tidak berhak campur tangan dalam urusan membabitkan umat Islam di negara ini.

"Kalimah Allah adalah untuk umat Islam dan kita tidak boleh membiarkan sesiapa pun memperkotak-katikkan hakikat ini," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan Marino supaya tidak bermain api dengan membangkitkan isu yang menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini.

Thursday, 6 June 2013

Papa Gomo BERSARA???



Blogger terkenal, Papa Gomo yang 'memeriahkan' alam maya dengan entri-entri kontroversi mengumumkan mahu bersara daripada dunia blogging.

Menulis dalam laman mikro Twitter menggunakan nama @PapaGomo, blogger berkenaan memaklumkan perjuangannya dalam dunia blogging sudah berakhir.

"I'm done (saya selesai). Itu yang Gomo boleh katakan dalam perjuangan dengan nama blog Papa Gomo. Bagi peluang blogger baru gegar alam maya ini," tulisnya pada Isnin lalu.

Papa Gomo merupakan blogger yang tidak asing lagi dengan hasil tulisan dan pendedahan mengaitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai skandal.

Terbaru, blogger berkenaan berhadapan dengan kes saman oleh ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang akan didengar awal tahun depan.

Saman fitnah RM100 juta itu difailkan Anwar 21 Mac lalu dengan menamakan Wan Muhammad Azri Wan Deris sebagai pemilik blog berkenaan.

Ia ekoran penayangan video lucah yang didakwa sebagai pemimpin pembangkang itu.

Wan Muhammad Azri bagaimanapun menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog berkenaan.

Papa Gomo yang identitinya masih menjadi teka-teki dalam laman mikro Twitternya turut menulis, beliau yakin ramai lagi blogger berbakat dapat diketengahkan untuk memeriahkan PRU14 kelak.

Blog Papa Gomo juga kini tidak boleh diakses lagi.

"Gomo nak fokus pada perniagaan pakaian tu. Lagipun bulan puasa dah nak tiba dan ni masanya nak cari duit lebih," tulisnya.

"Gomo yakin PRU14 akan ada ramai blogger pro BN yang hebat.

"Semoga perjuangan rakan rakan blogger lain akan terus hebat dan menguasai arus blogger yang ada pada PRU14. Pakatan mesti dihancurkan," tambahnya lagi dalam posting berlainan.

Sunday, 2 June 2013

"Anwar PENIPU???" - Bekas Menteri Indonesia



Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta satu perjanjian diadakan untuk memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata seorang saksi pertemuan yang diadakan oleh orang tengah dari Indonesia dengan kedua-dua pemimpin itu.

Hamid Awaludin, bekas menteri undang-undang dan hak asasi manusia Indonesia, berkata oleh kerana tidak terdapat sebarang perkara yang boleh membatalkan perjanjian itu, yang dibuat menjelang PRU-13 atau pada hari pengundian, maka perjanjian berkenaan terus terpakai.

Bagaimanapun, "keadaan berubah apabila Najib diisytihar sebagai pemenang" katanya sambil menjelaskan bahawa Anwar meminta perjanjian itu diadakan kerana beliau "yakin akan mencapai kemenangan pada pilihan raya itu berdasarkan hasil pungutan pendapat yang sering menyebelahinya dan jumlah hadirin pada majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat".

Hamid, yang pernah berkhidmat sebagai duta besar Indonesia ke Rusia dan Belarus dari 2008 hingga 2011, memberitahu Bernama beliau turut hadir pada perbincangan yang diadakan antara bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla dengan Anwar dan Najib.

"Jusuf Kalla sekadar memenuhi permintaan Anwar supaya beliau menjadi orang tengah. Bukan beliau (Jusuf) yang mengambil daya usaha agar perjanjian itu diadakan atau pergi berjumpa Anwar," katanya.

Laporan media baru-baru ini menyebut Anwar menafikan beliau memungkiri perjanjian damai yang diatur Jusuf dan mendakwa bekas naib presiden Indonesia itu menemuinya untuk menawarkan bantuan bagi memastikan urusan selepas PRU13 berjalan secara teratur.

Bagaimanapun, satu laporan lain pula menyebut Anwar mengaku beliau ada membuat perjanjian dengan Najib, yang menyaksikan Jusuf sebagai orang tengahnya, tetapi mendakwa Barisan Nasional (BN) menjadikan perjanjian itu terbatal berikutan cara parti gabungan itu melancarkan kempennya.

PRU-13 menyaksikan BN, yang diterajui Najib, kembali berkuasa apabila memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Anwar dan Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan di seluruh negara sejak 8 Mei dengan mendakwa berlaku penipuan pilihan raya.

Hamid berkata Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu, "tapi Najib memberi jaminan beliau akan mematuhi perjanjian itu."

"Beliau menerima perjanjian itu," kata Hamid dan menambah bahawa Najib mengotakan janjinya serta menyeru ke arah penyatuan nasional ketika berucap apabila BN diisytiharkan kembali berkuasa.

"Tindakan Najib ini menepati apa yang telah beliau ucapkan," katanya.