Tuesday 16 July 2013

PAS 'TAKUT' Pertahankan Islam...


Pas didesak membantah serta mengecam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd Zainul Fitri Othman berkata, Pas perlu mengambil tindakan mengecam selaras dengan misi parti tersebut dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

"Pas perlu mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan yang dikeluarkan oleh Marino  selaras pendirian Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan agama lain.

"Namun sehingga kini, tiada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pas.Kerana apa? Kerana parti Islam yang tegakkan daulat Islamiah itu sudah bertukar daulahnya untuk ke Putrajaya," katanya dalam rancangan Hello Malaysia di Bernama TV, Saluran 501 malam tadi.

Rancangan yang bersiaran secara langsung selama sejam itu menampilkan Sherkawi Jirim sebagai moderator manakala Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr. Hasan Ali dan Mohd. Zainul Fitri sebagai ahli panel dalam membincangkan tajuk 'Campur Tangan Vatican City'.

Sebelum ini, Marino dalam wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini baru-baru ini  mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

Namun sehingga kini Pas masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kontroversi yang ditimbulkan Marino itu.

Tambah Mohd. Zainul Fitri, jika tiada tindakan tegas diambil terhadap Marino yang mencampuri urusan hal ehwal agama Islam di negara ini, jelas memperlihatkan kelemahan pemimpin serta orang melayu Islam yang tidak bersatu dalam mempertahankan kalimah Allah.

"Perkara ini seolah-olah diperkotak-katikkan oleh orang luar. Seolah-olah melayu kita tidak bersatu. Salah siapa? Mungkin silap pemimpin yang egois? Pemimpin yang mementingkan iedologi? Terlalu menjaga teman tertentu, jaga rakan-rakan di luar? 

"Bila ini berlaku (tidak bersatu), siapa yang nampak lemah? Orang melayu, edisi kerajaan, pemimpin Islam, pemimpin yang mempunyai wadah perjuangkan Islam akan nampak lemah," katanya.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab pertanyaan seorang pemanggil yang bertanyakan di mana Pas dalam menangani isu ini dan orang melayu kelihatan tidak bersatu dalam memperjuangkan Islam kerana fahaman politik yang berbeza.

Sementara itu, Hasan Ali berkata, Vatican City tidak berhak campur tangan dalam urusan membabitkan umat Islam di negara ini.

"Kalimah Allah adalah untuk umat Islam dan kita tidak boleh membiarkan sesiapa pun memperkotak-katikkan hakikat ini," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan Marino supaya tidak bermain api dengan membangkitkan isu yang menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini.

No comments:

Post a Comment