Thursday, 22 August 2013

Kerajaan Akan Siasat Punca Nahas Bas Sampai 'Lubang Cacing'...Jangan Mudah Tuding Jari



Kerajaan memberi jaminan akan mencari punca nahas bas di Genting Highlands, yang mengorbankan 37 nyawa, dan pihak bertanggungjawab sehingga ke lubang cacing.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata siasatan akan dilakukan secara teliti dan rapi.

"Kita akan cari sampai ke lubang cacing punca terjadi tragedi yang cukup menyayat hati ini," katanya ketika diminta mengulas nahas itu ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Menteri Pertahanan di sini, Rabu.

Menteri Pertahanan itu juga meminta agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, khususnya Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menggariskan cara bagi mencari punca nahas berkenaan.

Hishammuddin turut meminta semua pihak agar tidak menuding jari kepada sesiapa dan menunggu laporan awal lengkap.

"Tunggu dulu. Janganlah hendak menuding jari kepada mana-mana pihak seperti yang selalu terjadi dalam keadaan beremosi," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan meminta pengunjung tidak melawat pusat peranginan Genting Highlands buat sementara waktu, Hishammuddin berkata semua itu bergantung kepada siasatan awal sama ada ia berkaitan keadaan bas, pemandu atau keadaan jalan.

"Banyak sangat kemungkinan. Jadi, sebelum saya dapat maklumat yang lebih terperinci, saya tidak boleh memberikan keputusan yang tepat berkaitan perkara itu," katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas.

37 Maut, Bas Turun Dari Genting Highlands Jatuh Gaung


Sebanyak 37 orang maut apabila sebuah bas ulang-alik Genting Highlands yang membawa 53 penumpang terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sedalam 150 meter sewaktu menuruni pusat peranginan itu di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands- Kuala Lumpur semalam.

Nahas terburuk dalam sejarah kemalangan negara itu berlaku kira-kira pukul 2.24 petang ketika bas dipandu Lim Kok Ho, 44, yang turut maut, menuruni puncak Genting Highlands ketika hujan renyai-renyai menuju ke ibu negara.

Selain 37 mangsa yang terkorban, 16 lagi penumpang cedera parah dan mereka dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong.

Malah ada di antara mangsa kemalangan ngeri itu yang tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter selepas kenderaan itu terhumban ke dalam gaung. Kebanyakan mangsa maut akibat terhimpit dan tercampak ke bahagian tempat duduk pemandu selepas bas itu terjunam.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi), Datuk Soiman Jahid memberitahu, bas itu dipercayai hilang kawalan sewaktu menuruni selekoh berhampiran tokong Cina lalu merempuh penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.

“Terdapat beberapa mangsa yang tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter ke dalam gaung ketika bas itu terhumban.

“Sebanyak 53 penumpang dipercayai menaiki bas berkenaan. Bagaimanapun setakat ini kita belum mengenal pasti punca sebenar kemalangan berlaku.

“Mangsa pertama yang cedera dibawa keluar pada pukul 3.54 petang manakala mayat terakhir dikeluarkan pada pukul 8.01 malam. Kesemua mayat mangsa dihantar ke HKL manakala 16 mangsa yang cedera dihantar ke HKL, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Bentong," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Identiti kesemua mangsa yang maut belum disahkan namun pecahan mereka ialah seorang lelaki Melayu; 19 lelaki Cina dan sembilan wanita Cina; tiga lelaki India dan seorang wanita India serta keturunan lain tiga lelaki dan seorang wanita.

Menurut Soiman, sebanyak 452 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pasukan perubatan bertungkus-lumus mengeluarkan mayat dan mangsa kemalangan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohd. Mansor Mohd. Noor memberitahu, setakat ini belum dikenal pasti sama ada terdapat kanak-kanak yang turut terkorban.

“Pasukan menyelamat menggunakan kren untuk mengeluarkan semua mereka yang tercedera dari lokasi kejadian," katanya.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai melawat tempat kejadian.


Wednesday, 21 August 2013

Peminjam LIAT Nak Bayar Balik PTPTN Tak Akan Kena CCRIS



Kabinet hari ini memutuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tidak meneruskan cadangan menyenaraikan peminjam di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan perkara tersebut menerusi laman Facebook miliknya selepas ia diputuskan oleh kabinet dalam mesyuaratnya sebentar tadi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan yang telah mendengar pandangan golongan muda.

"Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Alhamdulillah, PTPTN tak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS. Terima kasih kepada PM dan menteri-menteri pendidikan kerana mendengar suara orang muda," katanya.

Semalam Khairy yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno turut menentang tindakan tersebut dan berpendapat kerajaan seharusnya mengambil pendekatan lain bagi mengumpul kembali dana yang dipinjam dari badan tersebut dan bukannya menyenaraihitamkan dibawah CCRIS.

"Keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang juga mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam," katanya.

Artikel Yang Mampu 'Buka Mata' Orang Melayu Di MALAYSIA



Tajuk asal: singapura kerana Malaysia...

SAYA begitu teruja untuk mengulas pendapat Lee Kuan Yew ketika melancarkan buku terbaharunya bertajuk, One Man's View of the World pada 6 Ogos 2013.

Sebelum itu, nasihat saya bekas Perdana Menteri ini, beritahu anak, jagalah orang Melayu Singapura baik-baik ketika usia emas ini. Pastikan mereka boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Cina di sana. Tidak perlulah banyak komen sangat tentang keadaan politik di Malaysia sehingga menuduh kerajaan Malaysia sanggup korban talent (bakat) semata-mata untuk menaikkan orang Melayu. Ketuanan Melayulah yang menyebabkan Malaysia mundur, kehilangan bakat dan sebagainya.

Asyik-asyik salahkan Melayu. Saya pun ada hak untuk menyalahkan ultra kiasu Cina Singapura, yang menyebabkan Melayu di sana dan Malaysia dikhianati. Tanpa Malaysia, Singapura tidak ke mana-mana jua. Justeru, berterima kasihlah kepada Malaysia.

Sejak dahulu, Kuan Yew tidak pernah berubah, sering menjadi isu hak istimewa orang Melayu atau ketuanan Melayu untuk menghentam Malaysia. Pada beliau, inilah yang menjadi Malaysia tidak maju seperti Singapura. Alah, sekadar menguruskan negara sekangkang kera, sesiapa pun boleh buat. Justeru, janganlah terlalu bongkak. Apa yang berlaku di Singapura, mempunyai kaitan yang rapat dengan kita di Malaysia.

Apa yang menjadi masalah dengan hak istimewa Melayu atau ketuanan Melayu? Adakah dengan hak dan ketuanan ini, bukan Melayu merempat dan menjadi hamba? Tidak juga. Malah, siapa yang lebih hebat hari ini? Melayu yang bergelar 'tuan'? Atau Cina yang bergelar 'hamba'.

Sedarlah isu ini tidak ada apa-apa, melainkan soal kedengkian dan soal hati untuk memadamkan sejarah negara. Sebab, setiap negara ada asal-usulnya. Setiap bangsa ada tanahnya. Jika tidak, tidak adalah nama-nama seperti Tanah Melayu, Tanah China, Tanah India dan tanah-tanah yang lain mengikut bangsa.

Lagi soalan saya kepada Kuan Yew, jika benar-benar mahu mengangkat Melayu, sudah tentu institusi Islam seperti madrasah (sekolah agama) dan masjid diberikan perhatian. Ini tidak, jika umat Islam Singapura tidak mengambil inisiatif sendiri, sudah lama kedua-dua institusi ini terkubur.

Itupun kedudukan institusi Islam semakin menghimpit. Pihak berkuasa Singapura memaksa institusi ini mengikut kehendak mereka. Jika tidak, ia akan ditutup. Tanah akan dirampas. Berapa banyak tanah Melayu telah dirampas (beli) dan dijadikan tanah Cina Singapura?

Akhirnya, untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, mahu tidak mahu, institusi Islam terpaksa mengikut pihak berkuasa Singapura. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tidak dapat berbuat apa-apa. Orang agama yang bekerja di situ sudah mati kemelayuan dan keislaman. Cari makanlah katakan. Jika tidak percaya pergilah buat kajian di Madrasah Wak Tanjung. Dengar rintihan mereka.

Bakat-bakat Melayu yang menjadi pak turut disimpan dalam kerajaan. Manakala talent Melayu yang cuba membela Melayu dan Islam Singapura, dibuang jauh-jauh. Ke manakah talent seperti Dr. Lily Zubaidah? Kenapa beliau tidak diberikan tempat?

Kenapa banyak sangat orang Islam yang bukan berwajah Melayu (India Muslim) yang mendapat tempat di Singapura? Hanya Kuan Yew dan anaknya sahaja yang boleh menjawab. Janganlah terlalu menonjolkan diri sendiri hebat. Tanpa Malaysia, Singapura tidak akan ke mana-mana.

Itupun nasib baik saya bukan menjadi PM dalam menyelesaikan isu perebutan Pulau Batu Putih. Jika tidak, pasti saya tidak akan membawa perkara ini ke Mahkamah Antarabangsa (ICJ). Penyelesaian pertikaian pulau ini adalah perang. Malangnya, kita sudah terlepas. Dunia telah menyaksikan hilangnya sebuah pulau milik Melayu terlepas kepada ultra kiasu. Di manakah maruah Melayu? Hari ini Melayu dihina lagi, kita terus diam.

Tersangat jauh bezanya antara layanan kerajaan Malaysia terhadap SJKC dengan kerajaan Singapura terhadap madrasah dan masjid. Jika umat Islam di sana tidak mengambil inisiatif sudah lama institusi ini ditutup. Lihat di Malaysia, SJKC bukan sahaja diberikan keutamaan setanding dengan Sekolah Kebangsaan (Agama).

Hatta, kita pula terpaksa tunduk kepada SJKC. Niat kerajaan untuk menambah masa Bahasa Melayu bagi memandaikan anak Cina terus ditentang. Termasuk Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP). Dong Jiao Zong sedang aktif untuk mendapatkan tandatangan orang Cina seluruh negara bagi menentang PIPP.

Di Singapura, sesiapa yang tidak mengikut arus kebangsaan, bukan sahaja tidak relevan, malah akan dihumban ke penjara. Kita pula asyik melayan kerana mahukan undi dan mengekalkan kuasa kononnya. Apa hasil yang kita dapat? Dapatkah undi dan kuasa itu?

Jika Kuan Yew sangat menginginkan talent dari Malaysia, ambillah orang seperti Namewee, Alvivi dan sebagainya. Malaysia tidak perlukan orang yang kononnya mempunyai talent tersebut.

Kita mahukan talent yang membina bukan talent yang menghancurkan negara. Talent yang mempunyai semangat partriotisme yang tinggi. Bukan talent yang merosakkan negara dan membocorkan rahsia negara. Saya amat bimbang dengan trend pegawai kerajaan yang bekerja di bahagian keselamatan, kerana ramai juga orang seperti Si Kitol dan Mandaliar. Mereka ini ultra kiasu.

Si Kitol dan Mandaliar inilah yang telah melakukan khianat dan membentuk negara Singapura. Mereka tipu pemimpin kita dengan membuat perjanjian air yang tidak langsung munasabah. Atas sangka baik, kita bersetuju. Sehingga kini, air yang dijual kepada Singapura adalah wang Malaysia 0.03 sen setiap 1,000 gelens (4,500 Liter) sehingga tahun 2061. Perjanjian yang amat tidak masuk akal. Bayangkan ketika pemisahan tahun 1965, kita putuskan air, apakah Singapura wujud hari ini?

Berbanding kerajaan China menjual air kepada air kepada negara bangsanya sendiri Hong Kong, suatu ketika dahulu pada harga AS$5.8 setiap 1000 gelen. Saya ringkaskan, Melayu jual kepada Cina air pada kadar 0.03 sen setiap 1000 gelen. Manakala China menjual air kepada Cina pada kadar AS$5.8 setiap 1000 gelen. Siapa sebenar yang baik? Siapa sebenar yang tertipu? Apakah bangunan mereka boleh berdiri megah dengan menggunakan air masin? Sudahlah Kuan Yew, bertaubatlah kamu di akhir usia ini.

Kenapa Malaysia (Melayu) begitu bermurah hati? Inilah soal hati Melayu. Hati mulia Melayu yang saya amat kenali setelah lama berdamping dengan mereka. Hatinya terlalu baik sehingga orang lain mengambil kesempatan. Yang paling saya bimbang, kebaikan hatinya nanti akan menyebabkan negara ini tergadai.

Baru-baru ini, di bulan Ramadan, saya terserempak dengan bekas pegawai tinggi kerajaan sedang berjumpa dengan sekumpulan peniaga Cina pada jam 1.00 pagi di sebuah restoran di ibu kota. Dalam hati sudah dapat mengagak, apa lagi agendanya kalau bukan mahu menjadi 'pak pacak'. Maka akan dilantik menjadi pengerusi syarikat itu dan ini, dengan elaun puluhan ribu ringgit sebulan, bagi tujuan mendapatkan tender atau kontrak kerajaan.

Inilah dilema orang Melayu. Apabila sudah pencen, kerja tiada. Maka mereka akan mencari jalan pintas. Mereka tidak fikir bagaimana membangunkan Melayu. Mereka hanya fikirkan perut. Ultra kiasu akan menggunakan segala ruang dan peluang untuk memanipulasikan keadaan.

Kita hanya boleh berbangga menjadi pengerusi syarikat ini dan itu di bawah telunjuk syarikat Cina. Bila dapat projek kerajaan bernilai jutaan itu, siapa kaya? Melayu menjadi sekaya mana? Apakah kita akan dihargai selepas itu? Inilah pemikiran Kuan Yew.

Lihatlah perjanjian air antara Malaysia-Singapura, langsung tidak boleh diubah. Jika Malaysia bercadang untuk menaikkannya mungkin keadaan lebih buruk akan terjadi. Apakah Singapura atau Kuan Yew pernah berterima kasih kepada kita?

Apa sebenarnya yang Kuan Yew mahu? Beliau tidak pernah berhenti bersuara supaya Malaysia menghapuskan hak istimewa orang Melayu dalam keadaan usia emas beliau? Jawapannya, apabila hak ini dihapuskan dalam Perlembagaan, ketika itulah tidak mustahil, Singapura akan menawarkan diri untuk masuk semula ke dalam Persekutuan Malaysia.

Nasihat saya, Malaysia tidak bodoh lagi. Bakat-bakat di Malaysia sudah tidak boleh lagi dipermainkan dan diperbodohkan.

Tulisan: PROF MADYA DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH


Mari BERSATU...Hapuskan Golongan BIADAP Ni


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis berhubung sebuah video di laman sosial Youtube yang ingin menghapuskan kuasa Raja-Raja Melayu menjelang tahun 2030.

Penasihat PPIM, Tunku Azwil berkata, tindakan individu di dalam video tersebut yang digelar Ustaz Wan Ji merupakan penentangan ke atas perlembagaan selain mengkhianati bangsa melayu di dalam negara ini.

" Tindakan ini mengkhianati perlembagaan yang telah termaktub dan merupakan penghinaan ke atas bangsa melayu," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Turut hadir membuat laporan tersebut ialah wakil Pemuda MCA, Chong Sin Woon dan Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib.

Azwil menjelaskan, tindakan tersebut adalah penderhakaan ke atas kuasa Sultan dan kerajaan perlu mengambil tindakan serius berhubung perancangan yang dibuat oleh individu di dalam video tersebut.

Katanya, siasatan terperinci perlu dilakukan memandangkan gerakan tersebut telah mula ditubuhkan sejak tahun 2011 dan dikhuatiri mempunyai organisasi terancang yang telah mula melakukan perancangan tersebut.

" Kita gesa kerajaan mengambilkan tindakan sewajarnya ke atas individu-individu ini kerana mereka menderhaka kepada kuasa Sultan.

" Kita perlu siasat kerana ternyata mereka telah mempunyai organisasi terancang dan adalah bahaya jika kita tidak banteras perkara ini," katanya.

Beliau menambah, tindakan individu bergelar 'Ustaz' itu yang menyamakan Sultan di negara ini dengan pelbagai gelaran boleh dianggap sebagai kurang ajar.

Klip video berdurasi 3 minit tersebut telah mula dikesan di dalam laman sosial Youtube semenjak bulan Jun memaparkan seorang individu melukiskan pelan perancangan untuk menjatuhkan kuasa Raja-Raja Melayu bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Republik.

Individu tersebut melukiskan pelan tersebut di atas papan putih di hadapan beberapa orang di dalam sebuah bilik tertutup.

Tuesday, 20 August 2013

Hentam Tanpa Bagi Cadangan, Bukti Orang Cetek Pemikiran


Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sepatutnya mengemukakan cadangan dan bukannya terus menerus menghentam pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan mendakwa peningkatan kadar jenayah dan kes bunuh yang melanda negara adalah cermin kegagalan dalam 100 hari pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas Pilihan Raya 2013.

Malah, menurut Penganalisis Politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain kritikan tidak berasas Mahfuz itu bukan sahaja tidak dapat membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya memburukkan lagi keadaan sedia ada.

"Saya ingat lebih baik jangan menghentam Datuk Seri Najib. Beritahu macamana caranya nak menyelesaikan masalah. Menghentam tidak akan menyelesaikan masalah. Bagitahu idea macamana,

"Pembangkang juga yang minta Barisan Nasional menghapuskan ISA, akta tahanan polis dan semua tu. Bila jadi macam ni nak salahkan Najib pula. Najib sudah mengambil cadangan itu yang kononnya bila hapuskan ISA akan aman damai," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari ini yang mendakwa Najib gagal mentadbir negara dalam 100 hari pemerintahannya sehingga menyebabkan peningkatan kadar jenayah dan kes bunuh muktahir ini.

Malah, Naib Presiden PAS itu mendakwa tempoh 100 hari pentadbiran BN selepas PRU13 masih tidak memberi gambaran jelas untuk meringankan beban rakyat.

Katanya, kegagalan itu terpamer berikutan peningkatan kos sara hidup rakyat hari ini.

Dakwanya lagi, pemimpin Umno-BN mengenepikan tanggungjawab kepada rakyat sebaliknya hanya memikirkan cara untuk mengukuhkan kedudukan dalam pemilihan Majlis Tertinggi (MT) parti itu pada Sepetember depan.

Mengulas lanjut Atory berkata, kenaikan harga barang berlaku bukan kerana kegagalan Perdana Menteri, sebaliknya ia berlaku berikutan musim perayaan.

Justeru katanya, adalah tidak wajar untuk Mahfuz mengeluarkan kenyataan sedemikian apatah lagi beliau tidak mempunyai latar belakang dalam bidang ekonomi.

"Harga barang meningkat ini bermusim. Kalau setakat YB Mahfuz, pada saya janganlah cepat melatah, melainkan dia salah seorang ahli akademik, ahli ekonomi, bolehlah kita terima. tapi dia bukan ahli ekonomi," ujarnya. 

Monday, 19 August 2013

KJ Perlu Lagi Sepenggal Untuk 'Pikat' Golongan Muda Sokong UMNO



Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan mempertahankan jawatannya dalam parti pada pemilihan Agung Umno 2013 yang akan berlangsung September ini.

Menurut Khairy, keputusan tersebut dibuat setelah membuat perbincangan dengan pelbagai pihak yang masih memerlukan kepimpinan beliau dalam sayap parti itu.

"Saya membuat keputusan (pertahankan jawatan) setelah mendapat maklum balas daripada pimpinan akar umbi yang dikatakan masih memerlukan kepimpinan saya dalam sayap parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbukanya di sini semalam.

Khairy yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau itu turut berkata tempoh sepenggal yang diberikan kepadanya untuk menerajui sayap parti itu tidak mencukupi dan memohon diberi tempoh sepenggal lagi bagi membuktikan kepimpinannya.

"Bagi saya, tempoh sepenggal yang diberikan kepada saya tidak mencukupi dan saya perlukan tempoh yang lebih untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pengundi muda untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional," ujarnya.

Tambah Khairy , secara peribadinya beliau tidak mempunyai masalah sekiranya jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bertanding.

Khairy dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno pada pemilihan tahun 2009.

Mesyuarat Cawangan Umno dilanjutkan dari 31 Ogos kepada 15 September ini manakala pendaftaran penamaan calon untuk pergerakan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri dipinda dari 7 September kepada 21 September.

Mesyuarat pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri ditetapkan pada 12 Oktober dan penamaan calon untuk pemilihan Majlis Tertinggi Umno ditukar dari 7 September kepada 28 September.

Mesyuarat Bahagian dan hari pemilihan Majlis Tertinggi Umno dipinda daripada 5 Oktober kepada 19 Oktober.

Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 2 sehingga 7 Disember depan.