Friday 19 July 2013

Nik Aziz 'Hasut' Pengundi Besut Undi Pas, Masuk Syurga



Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ceramahnya malam tadi di Kampung Beris Pak Abu dilihat mengingkari janji PAS untuk berkempen secara sihat dan berhemah khususnya ketika Ramadan apabila menuduh parti lawan dengan pelbagai dakwaan.

Menurut Niz Aziz, pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut digesa supaya menolak calon Barisan Nasional (BN) daripada Umno kerana parti itu didakwa tidak memperjuangkan ajaran Islam.

"Umno tolak Islam...ambil (semangat) kebangsaan. Parti mereka pun guna bahasa Inggeris...tapi nak bela orang Melayu.

"Bela bangsa Melayu boleh bawa bekal ke akhirat? Adakah di akhirat nanti bila ditanya...kamu bangsa apa? Melayu...haa boleh masuk syurga. Senang la macam tu.

"Bangsa tidak boleh buat apa-apa di akhirat, sebab itu Nabi Muhammad SAW bukan pembela bangsa Arab tapi pembela Islam," katanya.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu juga mendakwa  perjuangan Umno di atas semangat kebangsaan untuk membela bangsa Melayu tidak akan membawa ke syurga.

Nik Aziz turut mendakwa Umno merosakkan pemikiran rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk masjid hingga menyebabkan umat Islam menjadi kedekut.

"Umno suruh buat masjid, tapi mereka sendiri tidak sembahyang. Mereka hanya nak dapatkan kontrak buat masjid sahaja.

"Kenapa saya kata tidak akan buat masjid? kerana Umno khianat kepada otak orang Kelantan. Mereka buat banyak masjid, surau. Akhirnya orang Kelantan menjadi kedekut.

"Cari duit hanya buat rumah, beli tanah, beli kereta...masjid tak buat. Ini satu kecelakaan yang menimpa," katanya.

Menerusi ceramahnya Nik Aziz turut menggesa pengundi termasuk calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman supaya mengundi PAS.

"Tolonglah...bukan sahaja orang PAS, tapi saya nak minta calon Umno sendiri undi PAS.

"Apa yang tak kena dengan PAS? PAS sebut tentang Islam...yang tolak Islam bukan Cina, tapi Umno yang menolak Islam," katanya.

Wednesday 17 July 2013

ALVIN & VIVIAN...Pasangan Tak Ada Akal...



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perbuatan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan boleh disifatkan sebagai orang yang tiada akal.

Menurut Dr. Mahathir, tindakan pasangan itu boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan masyarakat kerana mengguris sensitiviti rakyat pelbagai kaum, khususnya umat Islam tidak seharusnya dibuat.

"Kata benda-benda yang menyakitkan hati orang mungkin orang akan balas...nanti jadi bermusuhlah. Ini orang yang tak ada akal, bodoh yang tidak boleh diajar," katanya.

Tambahnya, tindakan pasangan itu dikhuatiri boleh menjurus kepada rusuhan dalam kalangan rakyat dan hukuman keras harus ke dikenakan terhadap pasangan itu, sebagai pengajaran.

"Jika tidak boleh dibuang negeri, mungkin tindakan lain boleh dikenakan. Tetapi saya ingat undang-undang tidak benarkan kita lucut kewarganegaraan," katanya ketika ditanya mengenai cadangan supaya pasangan itu dilucut kewarganegaraan.

Pasangan itu sebelum ini dikecam ramai setelah memuat naik gambar mereka menikmati bak kut teh (sup tulang babi) berserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook.

Tuesday 16 July 2013

PAS 'TAKUT' Pertahankan Islam...


Pas didesak membantah serta mengecam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd Zainul Fitri Othman berkata, Pas perlu mengambil tindakan mengecam selaras dengan misi parti tersebut dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

"Pas perlu mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan yang dikeluarkan oleh Marino  selaras pendirian Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan agama lain.

"Namun sehingga kini, tiada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pas.Kerana apa? Kerana parti Islam yang tegakkan daulat Islamiah itu sudah bertukar daulahnya untuk ke Putrajaya," katanya dalam rancangan Hello Malaysia di Bernama TV, Saluran 501 malam tadi.

Rancangan yang bersiaran secara langsung selama sejam itu menampilkan Sherkawi Jirim sebagai moderator manakala Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr. Hasan Ali dan Mohd. Zainul Fitri sebagai ahli panel dalam membincangkan tajuk 'Campur Tangan Vatican City'.

Sebelum ini, Marino dalam wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini baru-baru ini  mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

Namun sehingga kini Pas masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kontroversi yang ditimbulkan Marino itu.

Tambah Mohd. Zainul Fitri, jika tiada tindakan tegas diambil terhadap Marino yang mencampuri urusan hal ehwal agama Islam di negara ini, jelas memperlihatkan kelemahan pemimpin serta orang melayu Islam yang tidak bersatu dalam mempertahankan kalimah Allah.

"Perkara ini seolah-olah diperkotak-katikkan oleh orang luar. Seolah-olah melayu kita tidak bersatu. Salah siapa? Mungkin silap pemimpin yang egois? Pemimpin yang mementingkan iedologi? Terlalu menjaga teman tertentu, jaga rakan-rakan di luar? 

"Bila ini berlaku (tidak bersatu), siapa yang nampak lemah? Orang melayu, edisi kerajaan, pemimpin Islam, pemimpin yang mempunyai wadah perjuangkan Islam akan nampak lemah," katanya.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab pertanyaan seorang pemanggil yang bertanyakan di mana Pas dalam menangani isu ini dan orang melayu kelihatan tidak bersatu dalam memperjuangkan Islam kerana fahaman politik yang berbeza.

Sementara itu, Hasan Ali berkata, Vatican City tidak berhak campur tangan dalam urusan membabitkan umat Islam di negara ini.

"Kalimah Allah adalah untuk umat Islam dan kita tidak boleh membiarkan sesiapa pun memperkotak-katikkan hakikat ini," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan Marino supaya tidak bermain api dengan membangkitkan isu yang menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini.