SEBUT sahaja nama Khairy Jamaluddin atau KJ sudah pasti semua orang tahu dan kenal dengannya. Di sebalik kelantangan bersuara di Parlimen, beliau juga antara Ketua Pemuda Umno yang agresif dalam menyatakan pendirian serta menolak sesuatu yang dirasakan tidak betul tidak kira di dalam parti atau kerajaan.
Bagaimana persediaan YB dengan pemilihan yang akan datang tidak lama lagi ini?
Buat masa ini, segala persediaan dari segi mental dan fizikal telah pun saya siap sedia sepenuhnya. Malah sebarang bentuk cabaran dan juga liku-liku sepanjang menjalani proses berkempen juga telah saya lalui dengan baik sekali.
Alhamdulillah, setakat ini perwakilan menerima saya dengan senang hati dan mana-mana jua saya pergi mereka menyatakan sokongan terhadap saya. Insya-ALLAH semua yang dirancang berjalan dengan baik.
Apa komen YB tentang keputusan Lembaga Disiplin dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan yang membuat keputusan memberi kelonggaran berkempen kepada semua calon yang bertanding?
Sebaik sahaja menerima perubahan syarat itu, saya berasa lega dan berterima kasih kepada mereka kerana mendengar keluhan setiap orang seperti kami ini (calon bertanding).
Seperti sedia maklum, setiap calon yang bertanding itu sudah pastinya memerlukan ruang yang lebih terbuka dan luas untuk berkempen bagi memperkenalkan diri serta kehebatan masing-masing.
Jika disekat, saya khuatir tidak semua calon akan dapat bergaul mesra dengan perwakilan. Saya juga bimbang, jika berkempen juga ada syarat yang ketat, bagaimana perwakilan mahu kenal dengan calon mereka.
Macam saya ini tak apalah, sebab semua orang kenal atas kapasiti menteri dan penyandang Ketua Pemuda Umno Malaysia, tetapi bagi calon yang lain, tidak semua orang kenal, termasuklah saya sendiri yang tidak kenal siapa mereka semua ini, sebelum mereka menawarkan diri bertanding di kerusi yang sama dengan saya.
Oleh yang demikian, saya menerima baik dengan keputusan tersebut, sekaligus mengharapkan agar pihak pengurusan dapat menilai semula Tatacara Etika Kempen, agar ianya lebih relevan dengan suasana politik semasa.
Ia selaras dengan pindaan perlembagaan pada 2009, yang membolehkan semua ahli Umno bertanding dan jumlah perwakilan juga dilihat meningkat menjadi 146,500 orang berbanding sebelum ini hanya 2,500 orang sahaja.
Apa pandangan YB apabila terdapat ramai calon pemuda yang menawarkan diri bertanding pada pemilihan kali ini, termasuk empat calon baru yang akan bertanding di kerusi Ketua Pemuda?
Saya menganggap apa yang berlaku ini merupakan sesuatu yang positif. Malah jika dibandingkan dengan sayap lain, Pergerakan Pemuda mempunyai calon Ahli Jawatan Kuasa iaitu seramai 77 orang, antara yang paling ramai sekali.
Ini menunjukkan satu isyarat yang baik, apabila ramai yang berminat untuk bertanding merebut jawatan, bermakna mereka berminat dengan Pemuda, dengan itu kita dapat pastikan bahawa Pergerakan Pemuda ini masih relevan dan masih lagi menjadi tumpuan ramai golongan muda.
Bagi empat calon yang bertanding bersama saya itu, saya menganggapnya sebagai sesuatu yang positif.
Walaupun ada di antara calon itu saya sendiri tidak kenal, namun saya melihat proses ini sebagai sesuatu yang baik. Sejak tahun 2000 saya bersama Pemuda dan kini sudah hampir memasuki tahun ke 14 saya bersama Pergerakan Pemuda.
Saya bermula dengan exco Pemuda, kemudian Naib Ketua Pemuda, seterusnya Ketua Pemuda Umno Malaysia, dan pernah juga menjadi Ketua Pemuda Bahagian selama dua penggal. Jadi saya telah melalui setiap tangga dalam pergerakan Pemuda Umno ini.
Saya bertanding berdasarkan ‘track’ rekod dan visi, yang lain saya tidak tahu mengapa mereka bertanding. Apa pun, saya serah kepada perwakilan dan saya yakin telah pun buat yang terbaik pada penggal lepas. InsyALLAH saya dapat yakinkan kepada semua perwakilan untuk memilih semula saya menerajui mereka.
Menerusi pencalonan ramai di peringkat tertinggi Pergerakan Pemuda ini, adakah YB merasakan wujudnya perasaan protes atau tidak berpuas hati dengan cara kerja YB selama ini?
Saya tidak merasakan ada wujudnya protes atau perasaan tidak puas hati ini, memandangkan mereka yang bertanding itu terdiri daripada ahli biasa sahaja. Malah ada di antara mereka yang baru sahaja memegang jawatan dalam peringkat cawangan dan kini mahu mencuba nasib di peringkat yang lebih tinggi.
Kalau tidak puas hati baik pencabar saya terdiri daripada mereka yang dikenali dan mempunyai nama yang besar atau pun gergasi-gergasi politik misalnya dalam MT atau dalam Exco Pemuda Pusat. Saya yakin, kebanyakan yang bertanding hanya mahu mencuba nasib.
Tetapi saya bersyukur kepada pemimpin kanan Umno yang sedia ada ini, tidak bertanding di kerusi saya dan memberi laluan kepada saya untuk bertanding dan mempertahankan jawatan.
Terdapat dakwaan yang mengatakan YB menyokong calon naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara terang-terangan, Adakah benar YB akan membantu calon naib presiden ini dalam berkempen?
Iya. Itu sememangnya tidak dapat dinafikan kerana kami mempunyai keserasian yang sangat rapat. Sudah pasti saya serasi dengan Datuk Seri Hishammuddin.
Selama empat tahun saya jadi naib dengan beliau, dan empat tahun menjadi ahli exco dengan beliau. Beliau adalah individu yang bawa saya masuk ke dalam politik. Beliaulah juga orang yang bertanggungjawab masukkan saya dalam Pemuda Umno.
Sudah pasti saya menyokongnya. Lebih-lebih lagi beliau adalah bekas Ketua Pemuda kita. Kita akan 'promote' sesiapa sahaja yang melalui ‘kilang’ pemuda, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga pernah menjadi Ketua Pemuda, dan Datuk Shafie juga sebagai Ketua Pemuda Sabah.
Walau bagaimanapun, saya percaya setiap calon mempunyai kehebatan masing-masing dan terserah kepada perwakilan untuk menilai mereka, termasuklah saya.
Bagaimana pula dengan Datuk Mukhriz Tun Mahathir, ada dakwaan yang mengatakan bahawa YB berpakat antara satu sama lain bagi membantu memikat hati perwakilan? Komen YB.
Saya dengan Mukhriz? Bagi saya tidak wujudnya pakatan atau berpakat antara semua calon, kerana saya serahkan semuanya kepada perwakilan. Kita bertanding atas kekuatan masing-masing.
Saya hormati setiap calon yang bertanding. Saya serah kepada perwakilan. Tidak ada pakat-pakat, kita serah semuanya kepada perwakilan. Kalau kita pakat-pakat seolah-olah kita menidakkan hak perwakilan.
Ramai pihak pernah buat andaian bahawa YB adalah calon terbaik untuk menjadi Perdana Menteri di masa akan datang, adakah YB bercita-cita sedemikian?
Saya tidak bercita-cita tinggi dalam politik. Saya serahkan kepada Tuhan dan serahkan kepada rakyat dan perwakilan. Saya bertanding di Rembau saya serah kepada rakyat, saya bertanding dalam Umno saya serah kepada ahli Umno.
Seterusnya apa yang akan berlaku selepas ini saya tidak fikir lagi. Yang penting BN dan Umno akan menang dalam PRU14 dan tugas pemuda sendiri haruslah sentiasa membantu parti dalam membentuk kerajaan.
Saya tidak letak target yang terlalu tinggi. Syukurlah sebab saya masih ada dalam kancah politik tanahair ini dan masih diterima di kawasan saya lagi. Selebihnya saya serahkan kepada perwakilan dan rakyat.
Mungkin disebabkan saya muka baru, sebab itulah mudah dapat perhatian ramai. Selain itu, kekerapan penggunaan saya dengan media sosial ini juga, sedikit sebanyak memberi kelebihan dari sudut publisiti, sebab itulah orang melihat saya lebih berbanding yang lain.
Akhir sekali, apa harapan YB kepada perwakilan?
Harapan saya semoga pemilihan kali ini berjalan dengan lancar dan sempurna. Semoga para perwakilan dapat menilai dan melihat prestasi yang telah saya lakukan pada penggal lalu, yang mana ianya banyak membawa kepada perubahan serta kemajuan di kalangan pemuda itu sendiri.
Penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan bagi memantapkan lagi Pergerakan Pemuda Umno, sekaligus melahirkan modal insan yang cemerlang di kalangan pemuda. Pilihlah dengan bijak seseorang pemimpin itu bagi memastikan arah tuju Pemuda akan kekal terus gemilang.
SUMBER.