Thursday 6 June 2013

Papa Gomo BERSARA???



Blogger terkenal, Papa Gomo yang 'memeriahkan' alam maya dengan entri-entri kontroversi mengumumkan mahu bersara daripada dunia blogging.

Menulis dalam laman mikro Twitter menggunakan nama @PapaGomo, blogger berkenaan memaklumkan perjuangannya dalam dunia blogging sudah berakhir.

"I'm done (saya selesai). Itu yang Gomo boleh katakan dalam perjuangan dengan nama blog Papa Gomo. Bagi peluang blogger baru gegar alam maya ini," tulisnya pada Isnin lalu.

Papa Gomo merupakan blogger yang tidak asing lagi dengan hasil tulisan dan pendedahan mengaitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai skandal.

Terbaru, blogger berkenaan berhadapan dengan kes saman oleh ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang akan didengar awal tahun depan.

Saman fitnah RM100 juta itu difailkan Anwar 21 Mac lalu dengan menamakan Wan Muhammad Azri Wan Deris sebagai pemilik blog berkenaan.

Ia ekoran penayangan video lucah yang didakwa sebagai pemimpin pembangkang itu.

Wan Muhammad Azri bagaimanapun menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog berkenaan.

Papa Gomo yang identitinya masih menjadi teka-teki dalam laman mikro Twitternya turut menulis, beliau yakin ramai lagi blogger berbakat dapat diketengahkan untuk memeriahkan PRU14 kelak.

Blog Papa Gomo juga kini tidak boleh diakses lagi.

"Gomo nak fokus pada perniagaan pakaian tu. Lagipun bulan puasa dah nak tiba dan ni masanya nak cari duit lebih," tulisnya.

"Gomo yakin PRU14 akan ada ramai blogger pro BN yang hebat.

"Semoga perjuangan rakan rakan blogger lain akan terus hebat dan menguasai arus blogger yang ada pada PRU14. Pakatan mesti dihancurkan," tambahnya lagi dalam posting berlainan.

Sunday 2 June 2013

"Anwar PENIPU???" - Bekas Menteri Indonesia



Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta satu perjanjian diadakan untuk memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata seorang saksi pertemuan yang diadakan oleh orang tengah dari Indonesia dengan kedua-dua pemimpin itu.

Hamid Awaludin, bekas menteri undang-undang dan hak asasi manusia Indonesia, berkata oleh kerana tidak terdapat sebarang perkara yang boleh membatalkan perjanjian itu, yang dibuat menjelang PRU-13 atau pada hari pengundian, maka perjanjian berkenaan terus terpakai.

Bagaimanapun, "keadaan berubah apabila Najib diisytihar sebagai pemenang" katanya sambil menjelaskan bahawa Anwar meminta perjanjian itu diadakan kerana beliau "yakin akan mencapai kemenangan pada pilihan raya itu berdasarkan hasil pungutan pendapat yang sering menyebelahinya dan jumlah hadirin pada majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat".

Hamid, yang pernah berkhidmat sebagai duta besar Indonesia ke Rusia dan Belarus dari 2008 hingga 2011, memberitahu Bernama beliau turut hadir pada perbincangan yang diadakan antara bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla dengan Anwar dan Najib.

"Jusuf Kalla sekadar memenuhi permintaan Anwar supaya beliau menjadi orang tengah. Bukan beliau (Jusuf) yang mengambil daya usaha agar perjanjian itu diadakan atau pergi berjumpa Anwar," katanya.

Laporan media baru-baru ini menyebut Anwar menafikan beliau memungkiri perjanjian damai yang diatur Jusuf dan mendakwa bekas naib presiden Indonesia itu menemuinya untuk menawarkan bantuan bagi memastikan urusan selepas PRU13 berjalan secara teratur.

Bagaimanapun, satu laporan lain pula menyebut Anwar mengaku beliau ada membuat perjanjian dengan Najib, yang menyaksikan Jusuf sebagai orang tengahnya, tetapi mendakwa Barisan Nasional (BN) menjadikan perjanjian itu terbatal berikutan cara parti gabungan itu melancarkan kempennya.

PRU-13 menyaksikan BN, yang diterajui Najib, kembali berkuasa apabila memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Anwar dan Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan di seluruh negara sejak 8 Mei dengan mendakwa berlaku penipuan pilihan raya.

Hamid berkata Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu, "tapi Najib memberi jaminan beliau akan mematuhi perjanjian itu."

"Beliau menerima perjanjian itu," kata Hamid dan menambah bahawa Najib mengotakan janjinya serta menyeru ke arah penyatuan nasional ketika berucap apabila BN diisytiharkan kembali berkuasa.

"Tindakan Najib ini menepati apa yang telah beliau ucapkan," katanya.