Kabinet hari ini memutuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tidak meneruskan cadangan menyenaraikan peminjam di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan perkara tersebut menerusi laman Facebook miliknya selepas ia diputuskan oleh kabinet dalam mesyuaratnya sebentar tadi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan yang telah mendengar pandangan golongan muda.
"Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Alhamdulillah, PTPTN tak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS. Terima kasih kepada PM dan menteri-menteri pendidikan kerana mendengar suara orang muda," katanya.
Semalam Khairy yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno turut menentang tindakan tersebut dan berpendapat kerajaan seharusnya mengambil pendekatan lain bagi mengumpul kembali dana yang dipinjam dari badan tersebut dan bukannya menyenaraihitamkan dibawah CCRIS.
"Keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang juga mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam," katanya.
No comments:
Post a Comment